Sunday, April 12, 2015

Kelas Menjahit A Cut Dress (Dolly Modul) Anjuran Yasalma Sewing School (YSS)

Teks: Yati Dbahri

Assalamualaikum wbt & salam sejahtera.

Alhamdulillah, semalam 11 April 2015 (Sabtu) YD berkesempatan mengikuti Kelas Menjahit A Cut Dress (Dolly Module) di LSN Cheras, Selangor. Kelas jahitan ini dianjurkan oleh Yasalma Sewing School (YSS). Kalau nak tahu, YSS ini adalah Sekolah Menjahit #1 di Malaysia. Pengasasnya adalah Puan Yasalma, seorang pereka fesyen muslimah yang terkenal di Malaysia. Apa yang lebih menarik perhatian YD, YSS ini adalah satu-satunya sekolah menjahit yang mengajar cara menjahit paling mudah dan paling short-cut. Dengan erti kata lain, kita akan diajar membuat pakaian jauh lebih mudah dan pantas menggunakan teknik alternatif bersama Yasalma.

Asalnya YD mendaftar kelas di Putrajaya, tetapi pada saat akhir kami bergabung dengan peserta yang mendaftar di LSN. YD hampir-hampir tarik diri sebenarnya kerana bertukar lokasi kelas yang agak jauh. Setelah berbincang dengan cikgu, YD bersama beberapa rakan peserta yang lain, kami bersama juga akhirnya untuk menyertai kelas ini. Alhamdulillah, masalah jauh bukan alasan, terima kasih Cikgu Junne daripada YSS sendiri kerana bersusah-payah membawa kami ke LSN. 

Kelas bermula pada jam 11 pagi di bawah kelolaan Cikgu Nisa daripada YSS juga. Walaupun Cikgu Yasalma tidak dapat bersama kami pada kelas kali ini, matlamat belajar menjahit A Cut Dress (Dolly Module) tetap berjalan lancar dan selesai dengan jayanya. Setiap peserta diberikan Kit Jahitan dan kelas bermula dengan diajar cara membuat dress (dolly dress) menggunakan teori Yasalma yang sangat mudah dan sangat praktikal. Kami diajar menjahit dress dolly ini mengunakan tangan. Ya, konsepnya di sini, tidak semestinya ada mesin jahit baru boleh menjahit. Tanpa mesin jahit juga kita boleh menjahit menggunakan tangan. Dan yang paling menarik perhatian sekali, teknik Yasalma ini adalah teknik menjahit pakaian tanpa menggunakan pola kertas dan kelas ini sangat sesuai untuk mereka yang langsung tidak mempunyai asas jahitan.

Kit jahitan yang mengandungi kain untuk membuat Dress Dolly,
gunting, pita pengukur, jarum jahit, benang, kapur penanda dan jarum peniti.

Selesai menjahit dress dolly, kelas diteruskan pula dengan demo mengambil ukuran sebenar, cara memotong kain mengikut ukuran menjahit dan seterusnya menjahit dress sebenar sehingga siap. Alhamdulillah, 3 jam masa telah berlalu. YD dan rakan kelas yang lain telah berjaya menamatkan kelas menjahit dress dolly semalam dengan jayanya. Selepas ini tugas kami pula untuk mempraktikkan apa yang telah dipelajari dan difahami di rumah mengikut saiz sebenar masing-masing. InsyaAllah selepas ini kami mampu untuk membuat dress sendiri menggunakan teknik Yasalma yang amat mudah, senang difahami dan praktikal. 



Inilah hasilnya...Dolly A Cut Dress by YD ;-)
Cuba spot YD di mana? Sesi bergambar kenangan bersama pelajar-pelajar yang lain.
Oh ya, YD juga amat mengesyorkan kalian yang berminat hendak belajar menjahit untuk menyertai kelas-kelas yang dianjurkan oleh YSS. Walaupun teknik yang digunakan tanpa pola, ianya amat mudah difahami dan praktikal untuk pemula yang langsung tiada asas jahitan. Selain mendapat kit jahitan, kami juga mendapat bonus ebook blouse, ebook Jubah A Cut dan pelbagai video tutorial tips dan teknik oleh Cikgu Yasalma. 

Ok, projek jahit YD selepas ini, YD akan cuba praktikkan sebaiknya ilmu jahitan yang YD pelajari dalam kelas-kelas jahitan yang telah dihadiri. Nantikan ya hasil tangan YD dalam entri yang akan datang! 


1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...