Tuesday, March 24, 2015

Tips Membeli Mesin Jahit

Teks: Yati Dbahri

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.


Dulu sebelum ada mesin jahit YD selalu berangan...

YD:
"kalau lah ada mesin jahit... senang nak jahit baju anak sendiri..
kalaulah ada mesin jahit.. bolehlah buat baju sendiri..
kalaulah ada mesin jahit..bolehlah buat bag sendiri...
kalaulah ada mesin jahit... bolehlah jahit langsir sendiri..
kalaulah ada mesin jahit... bolehlah buat macam-macam yang kita mahu..."

Hehe...selingan je tu ;-) Kali ni YD nak kongsi pula sedikit tips dalam memilih mesin jahit pertama untuk pemula seperti YD ni. Tips ni adalah berdasarkan pengalaman YD semasa mula-mula membeli mesin jahit Brothers NV950 dan mesin jahit tepi Brothers 3034D pada tahun yang lalu.

Tips #1: Angan-Angan Menjadi Kenyataan
Daripada angan-anganlah ianya menjadi kenyataan. Tak salah bukan kalau kita berangan dahulu. YD selalu berangan nak ada mesin jahit sendiri. Sebab minat sangat menjahit, mula-mula dahulu rasa tak mampu lagi untuk membeli. Jadi, setakat angan-angan dahulu dan dengan harapan ianya menjadi kenyataan. Lagipun angan-angan ni kan percuma. Betul tak? Seperkara lagi, angan-angan ni jugalah kadang-kadang boleh menjadi terapi kita menghilanglan stress. Setuju dengan pendapat YD ni, sila tunjuk ibu jari ya ;-)


Tips #2: Rancang Bajet
Sebelum membeli mesin jahit, kita rancang dahulu bajet yang diperlukan. Contohnya YD merancang untuk membeli mesin jahit secara pakej yang berjumlah tidak lebih daripada RM4000. Jadi, YD akan rancang setiap bulan berapa amaun yang YD perlu kumpul sehinggalah jumlahnya mencukupi mengikut target bila YD akan beli mesin tersebut.

Tips #3: Beli Ikut Bajet  Dan Keperluan
Tanya diri sendiri dahulu berapa bajet yang ada dan tujuan hendak membeli mesin jahit. Sekiranya tujuan membeli mesin jahit untuk kegunaan sendiri, YD rasa sudah cukup untuk membeli mesin jahit lurus (portable) biasa sahaja. Harganya pun jauh lebih murah daripada harga mesin jahit industri. Dan sebaliknya jika tujuan membeli mesin jahit untuk digunakan untuk bisnes, mesin jahit industri lebih sesuai kerana ianya tahan lasak untuk tempahan yang banyak.

Tips #4: Kenali Ciri-Ciri Dan Fungsi Mesin Jahit
Sebelum membeli mesin jahit, YD ada membuat sedikit survey dengan membuat perbandingan beberapa buah mesin jahit yang termasuk dalam senarai YD. Banyak maklumat kita boleh perolehi melalui internet atau boleh terus rujuk kepada supplier mesin jahit tersebut. Kemudian kita buat perbandingan pro dan cons setiap mesin tersebut. Selepas itu kita pilih mesin jahit yang terbaik mengikut kesesuaian keperluan dan bajet yang kita ada. Setiap mesin jahit mempunyai ciri dan fungsinya tersendiri. Faktor ini perlu diambil kira semasa membeli supaya kita tidak tersalah membeli nanti.

Tips #5: Perbandingan Harga dan Pakej
Berdasarkan pengalaman membeli mesin jahit dahulu, ada banyak sebenarnya supplier dan agen yang menjual mesin jahit di Malaysia ni. Jadi, sebelum membeli YD luangkan masa sedikit untuk membuat perbandingan harga yang ditawarkan oleh supplier atau agen. Biasanya harga mereka lebih kurang sama dan tiada beza. Tetapi apa yang membezakan adalah tawaran pakej, promosi bonus pembelian, aksesori tambahan dan perkhidmatan lepas jualan yang ditawarkan.

Tips #6: Buku/CD Manual dan Cara-Cara Penggunaan Mesin
Sebelum membeli mesin jahit, pastikan buku/CD manual ada disediakan. Ini bertujuan sebagai rujukan kita sendiri kelak. Setiap jenama mesin jahit mempunyai cara penggunaan yang berbeza. Jadi, dengan adanya buku/cd manual, ianya memudahkan kita untuk belajar sendiri di rumah nanti dan sekiranya ada masalah dengan mesin tersebut. Seperti YD, YD memang zero tentang mesin jahit. Masa mula-mula beli mesin dahulu, YD memang akan selalu rujuk buku dan CD manual yang disediakan. Selain itu, di tempat YD beli mesin jahit YD, ada juga diterangkan cara-cara menggunakan mesin jahit tersebut. Maksudnya pihak supplier akan menerangkan langkah demi langkah bagaimana mengoperasikan mesin jahit tersebut.

Tips #7: Spare Parts dan Waranty
Tips yang seterusnya kita pastikan juga mesin jahit yang hendak dibeli mempunyai waranty. Selain itu, pastikan juga spare parts mesin jahit kita itu juga jenis yang mudah didapati di Malaysia untuk penukaran atau ganti disebabkan rosak.

Tips #8: Perkhidmatan Selepas Jualan
Tips yang terakhir, sudah tentu YD akan ambil kira juga adakah perkhidmatan selepas jualan disediakan. Maksud YD sekiranya berlaku sebarang kerosakan atau apa-apa pertanyaan berkenaan mesin jahit yang dibeli, mudah nanti untuk YD dapatkan maklumbalas dan tindakan seterusnya daripada pihak penjual/supplier.

Semoga tips di atas memberi manfaat kepada kalian semua ;-)


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...